Jimi Hendrix memilih untuk meluahkan sejuk rasa hatinya atau keluh kesah jiwanya melalui warna. Warna yang mana simboliknya terselit antara bait-bait lirik, dan kemudiannya disatukan dengan melodi dan diterjemahkan oleh Hendrix dengan senjata keramatnya, si Fender Stratocaster. Apa saja warna yang disebut dalam lirik lagu-lagunya jarang tidak bermaksud. Walaupun
"Purple Haze", misalnya, agak kabur maknanya kerana Hendrix dikatakan mencipta lagu ini ketika sedang khayal
acid, warna ungu bagi gitaris ini melambangkan perasaan marah atau cemburu.
Dan warna jugalah yang membuatkan aku keputusan ilham untuk mengisi ruangan maya ini sepanjang tiga bulan yang lalu. Namun begitu, warna rasa dan emosi yang mengiringi hari-hariku dulu bukan ungu. Bukan biru. Bukan juga hitam atau kelabu. Tetapi, merah. Ya, merah! Ibarat
"the mean reds" yang menjadi omelan Holly Golightly kepada Paul Varjak dalam
'Breakfast At Tiffany's'.
Ketika sedang sibuk bersiap-siap hendak ke penjara Sing Sing, Golightly mengatakan bahawa
"the mean reds" itu memang mengerikan. Ia membuatkan seseorang itu tiba-tiba takut, tetapi tidak tahu pula apa yang ditakutkan.
Tanyanya:
"Do you ever get that feeling?"
Ya, ada. Takut, dan yang aku takutkan itu datang dalam berbagai-bagai bentuk ujian yang bertindan. Ujian dalam erti kata yang nyata. Ujian dalam bentuk
**'parasit' halimunan
(yang memamah sisa kenangan dan membunuh dalam diam). Tidak tahu mana yang dahulu, mana yang kemudian. Pada ketika itu, ujian-ujian inilah yang membuatkan hati aku rabak dan membakar hangus ilham-ilhamku sekaligus.
Lantas aku noktahkan ruangan maya ini. Biar tinggal tanda tanya, asalkan tak ada
**hati-hati yang terhiris. Biar tinggal tanda tanya, asalkan aku tak terus-terusan menulis sebagai seorang protagonis yang diperangkap resah si antagonis.
Sememangnya aku berkeperibadian Aries yang lantang dan berterus terang. Tapi apabila berdepan situasi-situasi sebegitu, aku lebih selesa meminjam peribadi Cancer. Pengalaman lalu mengajarku agar lebih berpada-pada untuk berkongsi rasa. Bukan semudah itu untuk aku berbicara, apatah lagi membuka pekung di dada.
Tetapi itulah. Usai aku renung-renungkan Al-Insyirah:5, fahamlah aku duduk perkara semuanya.
Walau seperit mana ujian yang datang, di sini, rumahku masih berbumbung. Masih ada hidangan di meja makan dan pakaian lengkap di badan. Masih waras akal pertimbangan untuk membina tembok kesabaran.
Setiap manusia itu lahir ada
raison d'etrenya. Setiap manusia itu juga ada ujian-ujian yang mesti dilaluinya. Tapi, ujian-ujian itu bukanlah pula diluar batas kemampuan manusia itu sendiri. Itu janji-Nya.
Aku yakini itu.
Kerana itu, aku takkan membiarkan rasa, emosi dan hari-hariku terus diselubungi "
the mean reds". Kerana itu juga takkan ku biarkan walau sezarah warna ungu (versi Hendrix) cuba-cuba membelenggu.
Aku mahukan pelangi.
Kata orang,
“The soul would have no rainbow had the eyes no tears.”
Dan seperti penghujung lirik "Moon River" nyanyian Holly Golightly, aku akan terus menunggu datangnya pelangi.
Penghujung kisah ini nanti, biarlah bahagia. Baik di sini, mahupun di dunia sebelah sana.
Sementara itu, doaku, moga hati ini jernih dan kembali setenang lazuardi.