KAZAKHSTAN PENGHUBUNG EROPAH, ASIA
Tidak pernah terlintas di hati penulis bahawa satu hari nanti penulis akan menjejakkan kaki ke bumi Kazakhstan, nadi penghubung ekonomi, sejarah dan sosio-budaya Eropah dan Asia. Kazakhstan ialah sebuah negara Asia Tengah dan dikelilingi oleh Russia, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turkmenistan serta Laut Caspia di sebelah baratnya. Dengan keluasan 2.72 juta kilometer persegi yang merangkumi padang pasir, padang rumput dan pergunungan, republik ini adalah negara kesembilan terbesar di dunia dan mempunyai populasi seramai 15 juta orang (enam orang bagi setiap kilometer persegi) yang terdiri daripada pelbagai etnik.
Selepas dibebaskan daripada belenggu pemerintahan Soviet Union pada 1991, Kazakhstan kini ialah sebuah negara yang sedang membangun. Penulis ke tiga bandar di sana Ogos lalu atas urusan kerja. Setakat ini, tiada penerbangan terus-menerus dari Kuala Lumpur ke negara yang merupakan sebahagian daripada Laluan Sutera (Great Silk Route) ini. Penulis menaiki pesawat Uzbekistan Airways selama lebih kurang tujuh jam dan transit di Lapangan Terbang Tashkent, Uzbekistan selama lapan jam sebelum meneruskan perjalanan dan tiba ke destinasi pertama penulis iaitu Astana.
ASTANA
Bayterek Tower ialah salah satu monumen yang menjadi simbol status bandar yang masih ‘hijau’ atau baru dibangunkan iaitu Astana. ‘Bayterek’ bermaksud ‘pokok Polar yang tinggi’ dalam bahasa Kazakh. Pembinaan menara ini adalah berinspirasikan legenda seekor burung pembawa kebahagiaan bernama ‘Samruk’ yang bertelur di celah-celah dua batang dahan sepohon Poplar.
Astana ialah bandar kedua terbesar di Kazakhstan dan menjadi ibu negara sejak 1998. Ia juga merupakan salah satu ibu negara paling sejuk di dunia, dengan cuaca musim sejuknya mencapai -35 ke -40 darjah celsius pada musim sejuk.
Astana sedang melalui frasa pembangunan yang amat pesat. Pembangunan untuk pentadbiran dan infrastruktur dapat dilihat di sana sini dan semuanya akan siap dibina menjelang 2030. Penulis sempat singgah ke salah satu kawasan yang menempatkan bangunan-bangunan kerajaan yang baru dan terperanjat kerana idea dan konsepnya mirip Putrajaya (ketika Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev, berkunjung ke Malaysia pada Jun lepas, beliau khabarnya berminat untuk menjadikan Putrajaya bandar kembar Astana).
Jalan-jalan raya di bandar ini sentiasa bingit, berdebu dan sesak. Apabila melihatkan bas-bas awamnya yang uzur dan padat, penulis teringat kepada “BMW” (bas mini wilayah) di Kuala Lumpur sekitar 80-an dulu. Walau bagaimanapun, di sebalik kesesakan itu, penulis tidak terlepas pandang ke wajah-wajah orang tempatannya yang unik.
Gadis Kazakh Majoriti penduduk negara ini ialah orang Kazakh (perkataan “Kazakh” bermaksud “bebas” atau “pengembara”). Orang Kazakh memiliki darah keturunan Genghis Khan dan Alexander The Great. Mereka berkulit cerah dan bermata sepet, mirip orang Cina. Selain mereka, Kazakhstan juga dihuni oleh orang-orang berdarah Russia, Jerman, Korea Selatan ataupun campuran keturunan-keturunan ini.
Mungkin kerana asal-usul mereka yang hidup berpindah-randah dan cuaca musim sejuk negara mereka yang ekstrim, orang-orang Kazakhstan sangat menggemari makanan yang berat-berat seperti “nan” (roti) dan daging, terutamanya “baranina” (daging kambing biri-biri) dan “konina” (daging kuda). Daging-daging ini biasanya dijadikan rencah atau bahan utama sup, mee, ‘dumpling’, nasi malah pizza.
Ketika di sana, penulis dapat merasa sejenis salad lobak merah yang dipanggil “morkovi salat”, “shashlik” (kebab ikan dan ayam) “laghman” (hidangan mee yang dicampur sayur-sayuran dan daging) dan “gamphan” (hidangan nasi, sayur-sayuran daging yang rasanya seperti nasi padprik!). Penulis diberitahu bahawa ikan laut sukar didapati dan sangat mahal di republik itu dan tidak hairanlah ikan bilis (yang dibawa dari Malaysia) menjadi sejenis makanan yang mewah di kalangan orang-orang Malaysia di sana!
KARAGANDA

Perjalanan dari Astana ke Karaganda mengambil masa lebih kurang dua jam setengah melalui jalanraya. Mukabuminya luas, saujana mata memandang, tetapi sangat mendatar dan tandus. Bandar ini terletak di daerah Qaraghandy yang mana terletaknya kem-kem buruh paksa serta tertumpunya kegiatan melombong arang batu semasa era pemerintahan Soviet Union.
Ketika berada di bandar perindustrian ini, penulis telah singgah di salah satu masjid yang terdapat di sana. Sebenarnya, hampir 50% penduduk Kazakhstan (majoritinya orang Kazakh) beragama Islam. Namun begitu, tidak ramai dari kalangan mereka yang bermazhab Hanafi ini benar-benar mendalami dan mempraktikkan ajaran Islam sepenuhnya sepertimana Muslim di negara-negara jirannya.
Sebagai contoh, di perkarangan masjid yang penulis lawati itu terdapat sebuah kedai cenderahati yang bukan saja menjual kelengkapan sembahyang, tetapi juga pelbagai jenis tangkal yang mereka percaya dapat menjauhkan diri mereka daripada kejahatan dan hantu syaitan.
Penulis juga sempat berkunjung ke sebuah muzium semasa di Karaganda. Dari pemerhatian dan pembacaan artifak-artifak yang tersimpan di situ, penulis mendapati bahawa Kazakhstan amat berbangga dengan legasi yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan mereka seperti Al-Farabi. Gambaran wajah ilmuan matematik, falsafah, perubatan dan muzik ini turut diabadikan pada matawang kertas negara ini.
ALMATY
Republic Square atau juga dikenali sebagai ‘New Square’ (Novaya Ploshad). Republic Square ialah tempat diadakan pelbagai perarakan atau festival di Astana. Ia juga adalah lokasi popular bagi pasangan pengantin untuk mengambil gambar, dan juga untuk pasangan kekasih memadu kasih. Di tengah-tengahnya terletak Monument of Independence yang menjadi simbol detik-detik penting dalam sejarah Kazakhstan. Pada 1986, New Square ini menjadi saksi satu tragedi pemberontakan terhadap pemerintahan Soviet.
Almaty ialah bekas ibu negara Kazakhstan dan kini ianya dikenali sebagai pusat komersil negara tersebut. Bandar ini terletak di kaki banjaran Zailiysky Alatau dan mempunyai pemandangan serta landskap yang cantik serta banyak tempat-tempat menarik.
Medeo dan Shymbulak adalah antara dua lokasi yang menjadi tumpuan pemain-pemain ski di musim sejuk sekitar bulan Januari dan Februari. Kedua-keduanya terletak tidak jauh dari pusat bandar Almaty. Medeo mempunyai sebuah gelanggang ice-skating yang terkenal di dunia. Gelanggang yang dibina 1,691 meter di atas paras laut ini juga menjadi lokasi festival muzik ‘Voice of Asia’ yang diadakan setiap tahun.
Ketika berada di Shymbulak, penulis berpengalaman menaiki kereta kabel yang terdapat di situ. Seluruh bandar Almaty serta puncak-puncak gunung dapat dilihat dengan jelas ketika berada di dalam kereta kabel. Oleh kerana penulis ke Shymbulak ketika musim panas masih bersisa, perjalanan dengan kereta kabel itu berlalu dalam cuaca panas terik.
Almaty juga mempunyai beberapa tempat menarik untuk membeli-belah. TsUM misalnya, ialah sebuah pusat membeli-belah yang besar yang juga mempunyai seleksi barangan kraf tempatan dan cenderahati yang bermutu. Sebuah laluan pejalan kaki yang luas dan bersih terletak berhampiran TsUM dan ianya menjadi lokasi perniagaan peniaga-peniaga kecil serta pelukis-pelukis tempatan.
Bagi mereka yang mencari barangan berjenama, Ramstor adalah tempatnya. Ramstor terletak tidak jauh dari Republic Square yang mana terbinanya sebuah monumen kemerdekaan yang direka oleh arkitek Kazakhstan yang terkenal, Shota Valikhanov. Ramstor ialah sebuah kompleks membeli-belah yang moden yang memuatkan sebuah pasaraya, panggung wayang dan sebuah gelanggang ice-skating. Walau bagaimanapun, penulis merasakan barangan yang dijual di Ramstor tidak banyak bezanya dengan apa yang ada di Starhill ataupun Lot 10 di Kuala Lumpur, malah harganya juga mungkin lebih mahal.
Barakholka ialah satu lagi destinasi membeli-belah yang dikunjungi penulis. Barakholka ialah sebuah pasar kutu yang amat besar dan terletak lebih kurang 10 kilometer dari pusat bandar Almaty. Pada pandangan penulis, Barakholka ialah ibarat ‘bandar di dalam bandar’. Ianya menempatkan ratusan kedai-kedai kecil dan pelbagai perniagaan yang dijalankan di bawah khemah serta kontena-kontena terpakai yang diubahsuai menjadi kedai.
Barakholka menawarkan pelbagai jenis barangan termasuklah makanan, pakaian, barangan kelengkapan rumah, perkakas elektrik dan permainan kanak-kanak. Seleksi cenderahati dan kraftangan tempatan yang dijual di sini juga adalah lebih banyak dan pelbagai. Kesemua barangan di pasar kutu ini dijual dengan harga yang sangat berpatutan, malah para pembeli boleh tawar-menawar dengan para penjual.
Berdasarkan pengalaman penulis, Kazakhstan ialah sebuah negara yang menarik untuk dikunjungi. Walaupun ramai di kalangan penduduk Kazakhstan tidak boleh bertutur dalam bahasa lain selain bahasa Kazakh dan Russia, mereka mudah mesra. Kebanyakan penduduk tempatan yang ditemui penulis mempunyai sedikit pengetahuan mengenai Malaysia.